Emel Kami: klinikpusrawidengkil@gmail.com

Migrain: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah migrain? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom atau tanda-tanda dan rawatan kepada masalah migrain.

Pengenalan

Migrain adalah rasa sakit pada bahagian kepala. Tahap sakit bedenyut di kepala ini berbeza dan boleh bermula daripada sederhana kepada sangat teruk. Disebabkan ini, sakit kepala merupakan salah satu masalah kesihatan yang mendatangkan tekanan dan kesan yang besar sama ada kepada pesakit atau orang sekeliling mereka.

Salah satu kajian di US membuktikan pesakit ini memerlukan lebih banyak cuti rehat. Malah, lebih separuh daripada pesakit ini mengalami kemerosotan produktiviti dalam aktiviti, kerja mahupun sekolah. Lebih kurang 10% daripada komuniti dunia menghidap migrain dan ianya 3 kali lebih kerap di kalangan wanita. Masalah ini juga boleh terjadi pada kanak-kanak, tetapi kebanyakan kanak-kanak mengadu mengalami sakit perut yang teruk berbanding sakit kepala.

International Headache Society menggunakan 2 kriteria untuk mengesahkan masalah migrain; 

  • Berdasarkan tahap kesakitan dan kekerapan serangan sakit kepala (sekurang-kurangnya 5 dan berlanjutan dari 4 ke 72 jam jika tidak dirawat) serta 
  • Simptom tambahan seperti muntah dan/atau rasa loya, bersama kepekaan kepada lampu dan bunyi. 

1/3 daripada pesakit migrain boleh menjangka bila serangan ini akan terjadi kerana ia selalunya didahului dengan aura-iaitu simptom gangguan deria, motor dan percakapan yang berfungsi sebagai amaran sebelum migrain bermula. Aura boleh berlanjutan selama 10 ke 60 minit dan terkadang disalah paham sebagai sawan atau strok. Ia boleh berlaku sebelum migrain, semasa ataupun selepas.

Punca Migrain

Punca sebenar sakit kepala masih tidak diketahui, akan tetapi, ianya dipercayai terjadi akibat aktiviti otak yang tidak normal dan kemudiannya mempengaruhi isyarat saraf, tindak balas kimia serta aktiviti saluran darah di otak. Kajian terkini juga menunjukkan bahawa faktor genetik turut menyumbang kepada migrain kerana kebanyakan pesakit migrain mempunyai sejarah keluarga yang turut menghidap migrain.

Masalah boleh berlaku akibat pelbagai faktor seperti tekanan, perubahan atau masalah hormon, pendedahan kepada cahaya yang terlalu cerah, kurang tidur atau tidak cukup nutrisi. Diet harian juga mempengaruhi kekerapan serangan migrain. Wanita juga lebih kerap mendapat migrain atas faktor hormon terutama pada waktu menstruasi. Merokok juga adalah salah satu faktor penyumbang migrain yang teruk.

Selain itu, terdapat faktor-faktor pencetus lain seperti:

  1. Makanan: alkohol, buah-buahan sitrus, kafein (kopi, teh), makanan yang mengandungi tyramine (keju, yogurt, kacang dan sebagainya)
  2. Persekitaran: merokok atau bilik yang berasap rokok, cahaya terang seperti skrin yang terang atau cahaya yang berkelipan dari rancangan televisyen, bunyi bising, dan bau yang kuat contohnya minyak wangi
  3. Psikologi:Kemurungan, cemas, marah, keletihan, tekanan dan sebagaimya. Sesetengah serangan sakit kepala tidak berlaku semasa pesakit mengalami tekanan, tetapi berlaku apabila pesakit berada dalam keadaan yang relaks, sepertimana yang dipanggil ‘migrainhujung minggu’ (weekend migraine)
  4. Ubat-ubatan: rawatan hormon, sesetengah ubat tidur dan ubat perancang keluarga.
  5. Lain-lain: haid, pertukaran masa tidur, putus haid

Namun begitu kesan daripada faktor-faktor di atas mungkin tidak sama bagi semua pesakit, contohnya untuk sesetengah pesakit serangan migrain tidak menjadi lebih kerap walaupun mereka mengambil keju dan coklat.

Simptom dan Tanda Migrain

Simptom utama adalah sakit kepala. Kesakitan ini sangat teruk malah ada pesakit mengadu kepala mereka seakan-akan terasa seperti terbelah dua. Ia bermula dengan rasa kebas kemudian rasa berdenyut atau menghentam. Rasa sakit ini boleh terjadi pada sebelah bahagian kepala dan boleh berubah ke sebelah lagi. Ia juga boleh terjadi pada bahagian depan atau belakang kepala. Sebahagian pesakit turut mengadu merasai kesakitan pada bahagian mata, pelipis dahi, rongga hidung, rahang atau leher. Jika tidak dirawat, rasa sakit itu akan bertambah. 

Simptom migrain terbahagi kepada 4 fasa dan setiap fasa mempunyai simptom berbeza.

Tempoh
3 jam hingga beberapa hari

5-60 minit

4-72 jam

1-2 hari
FasaPRODROMAL (sebelum sakit kepala)AURASAKIT KEPALAPOSTDROMAL(kesan selepas migrain
SimptomMasalah konsentrasi, cepat marah, rasa tertekanSusah membaca dan bercakapSusah tidur, kerap menguapRasa loyaRasa penatKepekaan kepada cahaya dan bunyiKerap kencingMengidam makananKejang ototMelihat cahaya lampu yang terang dan berkelip-kelipTitik buta dalam penglihatanKulit kebas atau berdenyutTelinga berdengungTidak dapat melihatMelihat garisan senget atau bengkang-bengkokPerubahan rasa atau bauRasa pelikKepekaan kepada cahaya, bunyi bising dan bau.Rasa loya dan muntah, sakit perutHilang selera makanRasa panas dan berpeluh atau rasa sejuk dan menggigilPucatRasa letihKesukaran bercakapPening dan penglihatan kurang jelasMasalah konsentrasi: Rasa tertekanKepenatanMasalah untuk memahami inputGembira berlebihan

Penyakit lain yang berkaitan

Memandangkan simptom migrain melibatkan bahagian kepala, anda perlu mendapatkan konsultasi doktor sebelum membuat konklusi bahawa anda menghidap migrain. Ini kerana terdapat banyak masalah kesihatan yang serius melibatkan bahagian kepala yang memerlukan rawatan segera. 

Sakit kepala ini boleh muncul dengan simptom yang sama seperti masalah-masalah kesihatan seperti berikut:

  • Strok/angin ahmar 
  • Pendarahan di dalam otak/kepala
  • Masalah saluran darah kepala yang abnormal/aneurisme
  • Pemecahan arteri
  • Penyumbatan vena
  • Jangkitan di saluran darah kepala

Justeru, segera ke hospital jika anda mengalami sakit kepala yang sangat teruk dan lemah sebelah anggota badan ataupun percakapan anda menjadi tidak jelas. Demam yang tinggi, sawan, kekeliruan emosi atau mental yang datang bersama sakit kepala juga merupakan perkara yang perlu dirawat segera.

Ujian dan Pemeriksaan

Diagnosis migrain merupakan perkara yang penting. Pastikan anda menceritakan perkara yang sebenar dan betul kepada doktor anda apabila disoal tentang:

  • Sejarah sakit kepala : bila ia bermula, tempoh, lokasi serta faktor-faktor pencetus
  • Sejarah kesihatan dan keluarga
  • Pemakanan dan pengambilan ubat-ubatan
  • Perasaan anda sebelum, semasa serta selepas sakit kepala tersebut.
  • Aktiviti harian, serta jika sakit kepala itu berkaitan dengan menstruasi bagi wanita.

Doktor anda juga mungkin meminta anda menjalani ujian darah, CT Scan, MRI atau EEG (ujian gelombang otak) untuk memastikan anda tidak mengalami masalah kesihatan lain yang lebih bahaya. Adalah lebih baik jika anda mempunyai diari sakit kepala yang merekodkan semua perkara di atas. Ia memudahkan anda mengesan faktor pencetus serta membantu anda mengawalnya.

Rawatan

Migrain adalah penyakit kronik. Ianya sukar dirawat lebih-lebih lagi kerana punca sebenarnya masih belum dijumpai. Tetapi, cara rawatan yang diguna pakai kini terbahagi kepada 2 iaitu : Rawatan akut untuk memberi kelegaan semasa diserang migrain dan pencegahan daripada diserang migrain. 

Gabungan Teknik rawatan dan pencegahan ini didapati membantu mengurangkan migrain dan telah meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti pesakit migrain. 

Rawatan Akut/Memberi kelegaan : 

  • Tidur atau berbaring di dalam bilik yang gelap boleh membantu ketika serangan migrain berlaku.
  • Mengambil ubat-ubatan yang disarankan secara terkawal: Paracetamol, aspirin dan ibuprofen adalah antara ubat-ubatan yang boleh membantu memberi kelegaan akibat migrain. Ia perlu diambil seawal tanda pertama migrain dan lambat memberi kelegaaan jika diambil setelah sakit kepala menjadi lebih teruk. Bagaimanapun, pastikan anda tahu tentang ubat-ubatan yang perlu diambil dan membaca panduan dan nasihat berkaitan. Ini kerana tidak semua ubatan sesuai untuk semua peringkat umur dan keadaan. Aspirin contohnya, tidak boleh diambil oleh pesakit di bawah umur 16 tahun. Aspirin dan ibuprofen juga tidak boleh diambil oleh pesakit-pesakit yang menghidapi masalah ulser perut, masalah buah pinggang atau masalah hati tanpa nasihat doktor.

Pengambilan ubat-ubatan secara tidak terkawal dan berlebihan juga boleh menyebabkan masalah sakit kepala disebabkan ubat-ubatan. Ia dipanggil painkiller headache

  • Jika ubat biasa tidak berkesan, dapatkan konsultasi doktor untuk ubat-ubatan yang lebih spesifik seperti Triptan. Ia berfungsi mengurangkan aktiviti abnormal saluran darah yang dipercayai menyebabkan migrain.Tetapi anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan susulan jika anda mengambil ubat ini.
  • Memandangkan migrain juga mempunyai simptom tambahan serta aura, ubat tahan muntah atau campuran juga boleh membantu.

Pencegahan

Pencegahan adalah kunci untuk migrain. Jadi, adalah disarankan supaya pesakit migrain mempunyai diari untuk mengesan faktor pencetus dan seterusnya menjauhi faktor-faktor ini. Pengawalan tekanan secara berkesan, kaedah relaksasi, aktiviti fizikal dan penurunan berat badan jika perlu juga membantu mencegah migrain selain amalan gaya hidup sihat dengan diet yang sihat serta mendapat tidur yang cukup. 

Bagi wanita, mengambil ubat hormon mungkin membantu mengurangkan migrain. Selain itu. Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang terbukti berkesan untuk mencegah migrain. Pastikan anda mendapat nasihat doktor sebelum mula mengambil ubat-ubatan ini

Rujukan:

  1. Migraine ;National Institute of Neurological Disorders and Stroke
  2. Acute Migraine, Acute Pain, Center of Disease Control and Prevention
  3. Chronic Headache, CHRONIC PAIN MANAGEMENT TRAINING MODULE FOR PRIMARY CARE MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA.
  4. Migraine, MyHealth Portal-KKM
  5. Migraine Headache, National Health Service,UK
  6. Migraine headache, Cleveland Clinic

Migrain: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah migrain? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom atau tanda-tanda dan rawatan kepada masalah migrain. Pengenalan Migrain adalah rasa sakit pada bahagian

Read More »
Scroll to Top